TREE PLANTING | KOLEJ TAN SRI AISHAH GHANI
» BERITA » TREE PLANTING

TREE PLANTING

SERDANG 8 OCTOBER -Bersempena dengan Program Mega Penanaman Pokok pada 8 Oktober 2016 lalu, sebanyak 10 ribu pokok telah berjaya ditanam di sekitar kawasan di Universiti Putra Malaysia. Terdapat beberapa Zon Penanaman bagi program ini iaitu Zon A, Zon B, Zon C, Zon D1, Zon D2 dan Zon E. Di Zon A, lokasinya adalah bertempat di sekitar kawasan Bangunan TNCPI (Bangunan Putih Lebuh Silikon). Seramai lebih 500 orang peserta telah melibatkan diri di zon ini iaitu 14 orang peserta VIP yang ditempatkan di Zon A1 , 150 orang peserta dari Kolej 12, 150 dari Kolej 13, dan 70 orang dari Kolej 14 ditempatkan di Zon A2-1, manakala seramai 40 orang dari Kolej 14 dan 150 orang dari Kolej Mohamad Rashid ditempatkan di Zon A2-2. Penyelaras yang bertanggungjawab di zon ini ialah Tn. Hj. Mohd Nizam Jaafar.
Tujuan Program Mega Penanaman Pokok ini diadakan adalah bagi menceriakan lagi suasana di sekitar kawasan UPM dan sekali gus bagi mengurangkan dampak pemanasan global dengan kemampuan pohon dalam menyerap emisi karbon yang merupakan penyebab terjadinya pemanasan global. Program yang dianjurkan di UPM Serdang ini turut dianjurkan di UPM Bintulu pada hari dan waktu yang sama bagi menyelaraskan setiap aktiviti yang diadakan di kedua-dua buah pusat pengajian. Menyedari kepentingan memupuk semangat cinta akan alam sekitar di kalangan anak muda, aktiviti ini mensasarkan pelajar Universiti Putra Malaysia di Serdang mahupun di Bintulu.

Salah satu aktiviti yang dilakukan sempena program ini adalah aktiviti memanaskan badan. Setelah semua pelajar dari setiap kolej tiba di destinasi, aktiviti memanaskan badan dilakukan agar para pelajar lebih bersedia sebelum melakukan kerja penanaman pokok. Setelah selesai sesi tersebut, pelajar diagihkan makanan dan minuman untuk sarapan sebelum aktiviti seterusnya dilakukan kerana menurut penganjur, sarapan amat penting kerana ianya berperanan membekalkan tenaga kepada tubuh badan bagi melakukan aktiviti harian. Setelah selesai bersarapan, pelajar diarahkan untuk berkumpul di zon masing-masing seperti yang telah diberitahu sebelumnya.

Pelajar Kolej 13 yang berjumlah 150orang telah ditugaskan di Zon A2-1. Tn. Hj. Mohd Nizam, penyelaras di zon tersebut memberikan sedikit ucapan berkaitan yang perlu dan yang tidak perlu sebagai pendahuluan kepada sesi tersebut. Antara butiran yang ditekankan oleh beliau adalah tentang cara memegang anak pokok yang ingin ditanam. Caranya adalah dengan memegang polibeg atau memeluk polibeg. Anak pokok tersebut tidak boleh dipegang dibahagian batang kerana dikhuatiri rosak atau patah. Di zon ini, pokok yang perlu ditanam adalah pokok bunga raya atau nama saintifiknya, Hibiscus. Selain itu, beliau turut memberi penerangan tentang susun atur tanaman iaitu secara zig zag dan aras tanah anak pokok mestilah sama tinggi dengan tanah. Para pelajar turut dinasihatkan untuk korek dan buang tanah jika anak pokok lebih tinggi dan tambah tanah jika pokok lebih rendah. Penurut beliau juga, pokok yang telah disusun perlu disemak terlebih dahulu oleh penyelia bagi memastikan jarak dan pokok disusun dengan betul agar masalah seperti pokok tidak dapat membesar dengan baik tidak berlaku.

Polibeg mestilah dipotong sebelum anak pokok ditanam. Setelah polibeg dipotong, polibeg tersebut perlu dibuka dengan cermat agar struktur tanah tidak terjejas. Setelah selesai, pokok tersebut ditanam mengikut lubang yang ditanda dengan hand trowel dan ratakan tanah serta letakkan sungkupan di sekeliling pokok bagi mengekalkan kelembapan pada batas tanaman. Ianya memperlahankan pengeringan air di mana batas senantiasa lembab serta melindungi akar tanaman dari sinaran matahari terik. Kemudian, proses penyiraman dilakukan oleh pelajar dengan memasukkan air ke dalam botol mineral kosong ataupun gayung yang dibawa sendiri. Hasil daripada titik peluh dan semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh para pelajar dan peserta lain telah berjaya membuahkan hasil iaitu sebanyak 10 ribu pokok dapat ditanam dan disiram di sekitar UPM dengan jayanya.   


Pelajar Asasi Kolej mencangkul


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ TAN SRI AISHAH GHANI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691233
0386566461
W, (04:09:57pm-04:14:57pm, 07 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]