![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
KUALA TAHAN, 28 OKTOBER – Program Salam Desa Madani 5.0 @ Kuala Tahan merupakan sebuah program yang bertujuan untuk memperkenalkan ilmu sains dan matematik melalui aktiviti yang menarik kepada anak-anak orang asli Bateq. Program ini dianjurkan oleh Sekretariat Kesukarelawan Komuniti & Teknologi Hijau (SUKTEK), Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG) dengan kerjasama pihak pengurusan Kolej Tan Sri Aishah Ghani dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) serta Birdgroup Taman Negara. Program ini telah berlangsung dengan jayanya secara bersemuka bertempat di Kampung Kuala Atok, Kuala Tahan pada 27 hingga 29 Oktober 2023.
Program ini merupakan salah satu usaha daripada pihak Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Aishah Ghani untuk meningkatkan penguasaan ilmu sains dan matematik dalam kalangan pelajar orang asli Bateq ini kerana masih belum mencapai standard sistem pembelajaran yang diamalkan di sekolah-sekolah bandar. Perkara ini amat membimbangkan kerana pendedahan berkenaan Sains, Teknologi dan Matematik (STEM) kepada anak-anak orang asli ini tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh disebabkan oleh pengamalan sistem pembelajaran yang ketinggalan. Program ini juga merupakan salah satu medium untuk mendedahkan ahli jawatankuasa pelaksana yang terdiri daripada mahasiswa Kolej Tan Sri Aishah Ghani kepada situasi sebenar kehidupan bermasyarakat di kampung serta mewujudkan jalinan ikatan silaturahim yang erat bersama penduduk di sekitar kawasan Kuala Tahan melalui aktiviti yang telah diadakan. Di samping itu, program ini juga merupakan salah satu usaha untuk memperkenalkan Universiti Putra Malaysia sebagai salah satu universiti awam (UA) yang bukan sahaja mementingkan pencapaian akademik mahasiswa malah mengutamakan penganjuran program yang membentuk kesejahteraan pelajar secara holistik.
Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, program ini telah berjaya dilaksanakan dengan bantuan ahli jawatankuasa (AJK) program seramai 11 orang yang terdiri daripada para pelajar Kolej Tan Sri Aishah Ghani. Program ini juga turut mendapat sambutan yang hebat daripada para peserta yang terdiri daripada 50 orang kanak-kanak orang asli Bateq. Justeru, program ini memupuk semangat kerjasama antara ahli jawatankuasa bagi menjayakan aktiviti-aktiviti yang dilakasanakan. Seterusnya, program ini melibatkan aktiviti seperti Explorace dan Syoknya Sains. Melalui aktiviti tersebut, para peserta dapat didedahkan dengan keseronokkan ilmu sains dan juga menimbulkan rasa minat terhadap ilmu STEM.
Tarikh Input: 13/03/2024 | Kemaskini: 13/03/2024 | noriza

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
43400 UPM SERDANG,
SELANGOR DARUL EHSAN