
Projek Tani Lestari Kolej Tiga Belas merupakan satu program jangka masa panjang yang pertama kali dianjurkan di Kolej 13 yang diarahkan oleh saudari Siti Nur Zulhijjah Mohd Yusoff dengan penglibatan warga Kolej 13 yang terdiri daripada barisan pengurusan kolej, felo, Majlis Perwakilan Pelajar serta pelajar ijazah dan asasi. Projek ini merupakan projek penanaman tanaman berasaskan pertanian serta tanaman hiasan bagi melestarikan kegiatan pertanian di peringkat kolej. Program ini dilaksanakan bertujuan untuk menyahut seruan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman yang menyeru setiap kolej di Universiti Putra Malaysia untuk melaksanakan satu projek pertanian secara berterusan demi mencapai matlamat untuk memartabatkan bidang pertanian selain menjadikan Universiti Putra Malaysia antara institusi hijau dan harmoni. Projek ini hadir dengan mempunyai empat objektif utama iaitu memupuk semangat memperkasakan bidang pertanian, memberi pendedahan tentang ilmu pertanian, melahirkan mahasiswa yang memimpin dan memainkan peranan antara satu sama lain serta membina individu yang berkebolehan dalam merangka perancangan perniagaan dan merebut peluang perniagaan pada masa kini. Projek ini dijalankan di sekitar kawasan Kolej 13 dengan dibahagikan kepada lima zon berbeza iaitu Pusat Lestari K13, Dusun K13, Anjung Hijau, Laman Syurgawi dan Hamparan Tani. Antara tanaman yang diusahakan dalam Projek Tani Lestari Kolej Tiga Belas ini ialah bayam brazil, kangkung, bendi, cili, tanaman ornamental dan lain lain lagi. Walaupun masih baru dilaksanakan namun pelbagai aktiviti telah dapat dilaksanakan oleh jawatankuasa pelaksana serta hasil yang dapat dituai telah dapat dikongsi bersama. Antara aktiviti yang telah dilaksanakan ialah seperti pemberian hasil tanaman kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni iaitu YBhg. Prof. Dr Arifin Abdu yang disampaikan oleh saudara Wan Nurriduan Zulkarnain Wan Zainuddin, Presiden Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tiga Belas, aktiviti gotong-royong memasak gulai nangka yang dimasak oleh pelajar sendiri dengan bimbingan daripada felo serta pengagihan gulai nangka dan buah potong kepada warga kolej.
Tarikh Input: 04/02/2021 | Kemaskini: 04/02/2021 | norazlina_m

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
43400 UPM SERDANG,
SELANGOR DARUL EHSAN