Program Let's Play 2.0 | KOLEJ TAN SRI AISHAH GHANI
» BERITA » Program Let's Play 2.0

Program Let's Play 2.0

SERDANG, 29 NOVEMBER – Program Let’s Play 2.0 2020 merupakan program gabungan
anjuran Jemaah Ketua Blok (JKB) bersama Sekretariat Kebudayaan dan Integrasi (SEBUDI),
Sekretariat Teknologi Maklumat dan Publisiti (TELITI) dan Sekretariat Keusahawanan (KEUS)
Majlis Perwakilan Kolej (MPK), Kolej Tiga Belas sesi 2020/2021. Program ini bertujuan untuk
merapatkan lagi silaturahim di antara pelajar Kolej Tiga Belas. Berikutan penularan pandemik
COVID-19, warga kolej terutamanya pelajar baharu tidak berpeluang untuk berkenalan antara
satu sama lain. Oleh itu, beberapa sekretariat dalam Majlis Perwakilan Kolej telah mengambil
inisiatif menganjurkan program ini sebagai alternatif untuk merapatkan hubungan antara
warga kolej.
Selain itu, program ini juga bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat terpendam pelajar
Kolej Tiga Belas melalui aktiviti yang telah dijalankan. Program Let’s Play 2.0 ini telah
mendapat penyertaan yang memberangsangkan daripada para pelajar Kolej Tiga Belas yang
terdiri daripada pelajar Asasi dan juga pelajar Bacelor. Secara keseluruhannya, program ini
telah dibantu oleh ahli jawatankuasa (AJK) yang terdiri daripada para pelajar serta Majlis
Perwakilan Kolej, Kolej Tiga Belas dan para peserta yang telah mendaftar secara dalam talian
iaitu seramai 110 orang. Program Let’s Play 2.0 yang telah berlangsung selama sembilan hari
bermula 21 November 2020 hingga 29 November 2020 bertempat di sekitar Kolej Tiga Belas
secara dalam talian. Let’s Play 2.0 dijalankan berdasarkan penghantaran (submission based)
dan juga pertandingan dalam talian. Tarikh penghantaran telah bermula pada 21 November
2020 dan ditutup pada 27 November 2020.
Program ini merupakan salah satu usaha daripada pihak Majlis Perwakilan Kolej, Kolej
Tiga Belas untuk memupuk semangat kesukanan dan persahabatan dalam diri setiap pelajar
sepanjang program ini berjalan. Tidak ketinggalan juga, program ini turut bertujuan bagi
membantu para pelajar untuk belajar bekerjasama antara satu sama lain, meningkatkan
kemahiran berkomunikasi serta mengeratkan hubungan antara pelajar Kolej Tiga Belas.
Aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah pertandingan FYP Eyecandy, Aesthetical Maquillage,
Know Your College, Monolog Covid-19, 13TV Video Music Parodies, Ignite The Stage, Betara
Busana, Beyond The Voice, PlayerUnknown’s Battlegrounds Mobile, Mobile Legends: Bang
Bang, CyberBazaar dan Ready-Start-Sell!. Program ini juga telah dijalankan secara dalam
talian berikutan penyebaran wabak COVID-19 di seluruh negara dan mengikut garis panduan
atau prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM).
Majlis Penutupan Program Let’s Play 2.0 telah diadakan secara siaran langsung pada
pukul 8.00 malam sehingga 9.00 malam di laman Facebook rasmi Kolej Tiga Belas. Majlis
Penutupan Program Let’s Play 2.0 telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Shukri
Muhammad Noor, Pengetua Kolej Tiga Belas. Dalam ucapan penutup, Nurul Syazliana
Athiqah Abdul Hamid selaku wakil Jawatankuasa Penganjur Program Let’s Play 2.0
merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang telah menyertai Let’s Play 2.0.
Mengakhiri majlis pada malam tersebut adalah pengumuman senarai pemenang bagi setiap
aktiviti yang dipertandingkan.

Tarikh Input: 08/12/2020 | Kemaskini: 08/12/2020 | norazlina_m

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ TAN SRI AISHAH GHANI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691233
0386566461
W, (04:12:39am-04:17:39am, 20 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]