JELAJAH PUNCAK | KOLEJ TAN SRI AISHAH GHANI
» BERITA » JELAJAH PUNCAK

JELAJAH PUNCAK

Program Jelajah Puncak 1.0 telah diadakan pada tanggal 9 Oktober 2016 di Gunung Datuk, Rembau Negeri Sembilan. Program ini adalah dibawah anjuran Sekretariat Sukan dan Rekreasi, Majlis Tertinggi Kolej Tiga Belas dengan kerjasama pihak pengurusan Kolej Tiga Belas dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia. Seramai 36 orang peserta yang terlibat iaitu terdiri daripada 31 orang pelajar Kolej Tiga Belas serta 5 orang pegawai pengiring yang merupakan felo Kolej Tiga Belas.

Program ini diadakan untuk melahirkan mahasiswa yang mempunyai ketahanan diri yang tinggi, memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan peserta dan memupuk jati diri dalam kalangan mahasiswa. Selain itu melalui program ini juga dapat memberi kesedaran kepada peserta untuk turut menggiatkan diri dalam bidang kokurikulum selain hanya cemerlang dalam bidang akademik. Aktiviti mendaki gunung boleh dianggap sebagai aktiviti yang mencabar kerana ia memerlukan kekuatan mental dan fizikal. Walaupun begitu, aktiviti mendaki gunung juga merupakan salah satu aktiviti rekreasi yang boleh dijadikan terapi untuk mahasiswa yang mengalami tekanan dalam pembelajaran.

Peserta Program Jelajah Puncak 1.0 mula bertolak dari Kolej Tiga Belas pada jam 9 malam, 8 Oktober 2016 dan tiba di Gunung Datuk pada sekitar jam 11 malam. Semua peserta berehat sementara menunggu aktiviti pendakian dimulakan pada jam 3 pagi.

Ketika memulakan aktiviti pendakian pada jam 3 pagi, keadaan dan suasana sekeliling yang masih gelap sedikit sebanyak memberi kesukaran kepada para peserta untuk mendaki gunung dengan ketinggian 2900 kaki dari paras laut itu. Namun, dengan bimbingan penunjuk arah serta bantuan dari alatan seperti headlamp telah memudahkan pergerakan ke puncak gunung.

Walaupun trek pendakian agak mencabar di sepanjang pendakian, namun, para peserta tetap berjaya tiba di puncak Gunung Datuk dengan selamat. Pendakian Gunung Datuk mengambil masa selama lebih kurang 3 jam.

Secara keseluruhannya, program ini berjalan dengan jayanya seperti yang telah dirancangkan. Para peserta turut berasa bangga dan bermotivasi setelah berjaya menawan puncak Gunung Datuk hasil dari tumpuan penuh yang diberikan terhadap ketahanan fizikal dan mental serta kesungguhan yang tinggi bagi menamatkan pendakian. Besar harapan agar para peserta dapat memperoleh segala input positif yang terkandung sepanjang berlangsungnya proram ini.

Tarikh Input: | Kemaskini: 04/04/2017 | alvinltz

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ TAN SRI AISHAH GHANI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691233
0386566461
W, (07:47:03pm-07:52:03pm, 15 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]