INTERNATIONAL SKILLS AND KNOWLEDGE EXCHANGE PROGRAM (UPM – KYUTECH) | KOLEJ TAN SRI AISHAH GHANI
» BERITA » INTERNATIONAL SKILLS AND KNOWLEDGE EXCHANGE PROGRAM (UPM – KYUTECH)

INTERNATIONAL SKILLS AND KNOWLEDGE EXCHANGE PROGRAM (UPM – KYUTECH)

SERDANG­ ,19 OGOS- Kolej Tiga Belas telah menganjurkan ”International Skill and Knowledge Exchange Program-INSKEP 2016” yang berlangsung dari 19 Ogos 2016 hingga 29 Ogos 2016. Program pengantarabangsaan ini adalah hasil kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan juga Kyushu Institute of Technology (KYUTECH) Jepun. Program sepanjang 10 hari ini melibatkan 11 orang pelajar dari KYUTECH. Program ini telah dinaungi oleh saudara Ali Sufyan bin Khamurudin, turut dibantu oleh barisan ahli jawatankuasa pelaksana serta fasilitator yang telah dilantik. Pada 19 Ogos ini, berlangsungnya majlis “Welcoming Dinner” setelah ketibaan delegasi KYUTECH di KLIA pada jam 8.30 malam.yang bertujuan untuk menyambut serta meraikan kedatangan para pelajar dari KYUTECH. Dalam majlis yang berlangsung ini juga, para pelajar telah diperkenalkan kepada buddies mereka yang bertugas untuk membantu mereka sepanjang keberadaan mereka di UPM. Selain itu, mereka juga telah diberikan kunci penginapan sementara merka sepanjang menetap di Kolej Tiga Belas ini. Alhamdulillah majlis ini telah berlangsung dengan lancarnya.

 

SERDANG, 20 Ogos – Pada hari kedua, aktiviti pada hari tersebut dimulakan dengan pelajar KYUTECH Jepun bersarapan pagi dengan menu bihun goreng, sambal tumis, roti kaya dan teh tarik panas di Dewan Andromeda. Sarapan pagi tersebut disertai bersama dengan pelajar Universiti Kochi. Bertepatan padajam 9.00 pagi, pelajar Universiti Kyutech berkumpul di wakaf Phoenix untuk sesi aktiviti “Explorace: Getting to Know Each Other” bersama CALC dan selesai pada jam 12.00 tengahari selepas makan tengahari. Setelah itu, pelajar Universiti Kyutech diberikan masa berehat sebelum menyambung aktiviti bersama pihak MSSC pada jam 1.00 petang sehingga 4.30 petang. Pada jam 4.30 petang, pelajar Universiti Kyutech diberi ruang untuk beristirehat sebelum berkumpul semula di Dataran Phoenix pada jam 6.45 petang untuk makan malam di Kafe 13 bersama “buddies” masing-masing. Aktiviti pada malam hari dimulakan tepat pada 9.00 malam iaitu aktiviti Pengenalan kepada Makanan Tempatan bertempat di belakang Surau Orion. Antara makanan tempatan yang dimasak dan disediakan bersama ialah cekodok pisang, kentang goreng, popia goreng, buah Melaka dan sebagainya. Para peserta terdiri daripada eksekutif pelaksana program InSKEP, Eksekutif Pelaksana program Kochi, pelajar Universiti Kyutech dan pelajar Universiti Kochi. Melalui aktiviti ini, keakraban dan ukhwah antara pelajar Kolej Tiga Belas dan Delegasi Jepun dapat dipupuk dan dibina dengan lebih mesra dan rapat. Semua peserta kelihatan sangat gembira dan ceria pada malam tersebut. Tepat jam 11.00 malam, para peserta pulang ke bilik penginapan masing – masing untuk pengurusan diri sebelum beristirehat.

 

SERDANG, 21 Ogos – Hari ketiga Program InSKEP dimulakan dengan bersarapan pagi pada pukul 7.30 pagi di dewan Andromeda, Kolej Tiga Belas. Setelah itu, tepat pada jam 8 pagi, 11 orang pelajar KYUTECH  berserta 7 orang pelajar delegasi daripada Kochi dan 14 orang fasilitator daripada Kolej Tiga Belas bertolak ke Forest Research Institute Malaysia (FRIM), Kepong untuk aktiviti bersama pihak FRIM iaitu “Nature Trekking”, Lawatan ke Galeri FRIM, dan “Treasure Hunt”. Setibanya di FRIM, ketibaan para peserta disambut oleh pegawai FRIM diteruskan dengan sedikit taklimat mengenai FRIM. Pelajar Kyutech, pelajar Kochi dan para fasilitator  dibahagikan kepada beberapa kumpulan sebelum memulakan aktiviti tersebut. Pada pukul 5.30 petang, semua peserta dan juga fasilitator bertolak pulang ke kolej. Sebelum pulang ke kolej, para perserta singgah di IOI City Mall, Putrajaya untuk makan malam dan aktiviti santai. Pada pukul 9.00 malam, pengenalan dan pameran pakaian tradisional kaum – kaum di Malaysia telah dijalankan untuk para peserta KYUTECH dan Kochi. Para peserta Kochi dan KYUTECH diberi peluang untuk mencuba pakaian tersebut sebagai hasil pertukaran budaya Malaysia. Tepat jam 11.00 malam, para peserta dan fasilitator bersurai untuk beristirehat.

 

SERDANG, 22 Ogos – Pada hari keempat, para peserta program InSKEP 2016 bersarapan pada jam 8.00 pagi bersama fasilitator di dewan Andromeda. Pada jam 9.00 pagi, pelajar KYUTECH berkumpul di hadapan tempat menunggu bas untuk bergerak ke Biomass Tech Centre (BTC) di Universiti Putra Malaysia. Pelajar diberikan penerangan yang mendalam mengenai BTC. Tepat jam 11.30 pagi, pelajar KYUTECH tiba di Kolej Tiga Belas dari BTC. Pada jam 12.00 tengahari, fasilitator bersama pelajar KYUTECH bergerak ke Kafe Serumpun bersebelahan dengan kolej untuk makan tengahari bersama. Seterusnya, pada jam 2.00 petang, aktiviti diteruskan dengan melawati kilang Yakult yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan. Perjalanan ke kilang Yakult dengan menaiki bas UPM yang disediakan mengambil masa kira-kira dalam 45 minit untuk tiba ke destinasi. Di kilang Yakult, pelbagai penerangan dan pendedahan yang diberikan kepada para pelajar. Pada sesi pertama, pelajar KYUTECH diberi penerangan tentang sejarah minuman Yakult yang diasaskan oleh Dr. Shirota. Seterusnya, diteruskan dengan lawatan ke tempat pemprosesan minuman Yakult. Pelajar dapat melihat dengan jelas bagaimana minuman Yakult dihasilkan. Pada sesi ketiga, pelajar sekali lagi diberi taklimat tentang kebaikan minuman air Yakult kepada sistem pertahanan badan terutamanya. Selepas itu, sesi fotografi diadakan di dalam kilang Yakult bersama para fasilitator sebagai tanda penghargaan. Pihak Yakult juga membekalkan 2 minuman Yakult iaitu Yakult Ace dan Yakult Ace light. Tepat jam 6.00 petang, para pelajar pulang ke UPM. Pada jam 7.00 malam, pelajar ke kafe 13 untuk makan malam. Pada jam 9.00 malam, semua pelajar KYUTECH telah diarahkan untuk berkumpul di dewan Andromeda kerana akan diadakan sesi tarian tradisional.Sesi pada hari ini dibimbing oleh Sekretariat Seni Budaya dan Integrasi (SEBUDI) yang diketuai oleh saudara Haibiel dan saudari Azrin. Mereka telah mengajarkan tarian zapin kepada semua pelajar KYUTECH dan mereka telah mencuba tarian zapin.Pada mulanya mereka nampak kekok, tetapi selepas diajar dangan teliti oleh ahli SEBUDI ,mereka dapat menari tarian zapin dengan lancar sekali. Semua berseronok pada malam ini dan mula saling berkenal-kenalan dan mengambil gambar bersama-sama. Tepat jam 11.00 malam, semua pelajar dan peserta bersurai.

 

SERDANG, 23 Ogos – Hari kelima program dimulakan dengan sarapan pagi pada jam 8.00 pagi di Dewan Andromeda seperti hari – hari sebelumnya. Pada hari ini, peserta KYUTECH akan dipenuhi dengan aktiviti di CALC yang terletak di Fakulti Bahasa dan Media Komunikasi.  Tepat jam 8.30 pagi, peserta KYUTECH bertolak ke CALC dengan menaiki bas kampus dan pulang ke kolej pada jam 4.00 petang. Seterusnya, aktiviti malam dimulakan pada pukul 9.00 malam di mana para peserta berkumpul di Dewan Andromeda untuk bermain permainan tradisional Malaysia iaitu congkak, ting - ting dan ceper. Pada pukul 10.30 malam, para peserta KYUTECH bersurai dengan wajah yang seronok dan penat. Menurut salah seorang peserta program itu, permainan tradisional yang mereka bermain pada malam hari itu adalah pengalaman pertama yang mereka dapat merasai permainan tradisional Malaysia kecuali ting - ting kerana mempunyai beberapa unsur-unsur yang diambil oleh negara Jepun. Pada akhir malam hari ini, mereka masuk bilik pada pukul 11.30 malam dan berehat.

 

 

 SERDANG, 24 Ogos – Pada hari kelima, Kolej Tiga Belas telah menganjurkan lawatan ke Putrajaya bagi menerapkan lagi input pembelajaran untuk “exchange programme” yang dianjurkan di antara Universiti Putra Malaysia dengan Kyushu Institute of Technology @ KYUTECH. Tentatif program adalah seperti yang dinyatakan iaitu tepat pada pukul 8 pagi, pelajar Jepun dijemput untuk menikmati sarapan pagi di Dewan Andromeda. Fasilitator yang bertanggungjawab menguruskan makanan pada pagi tersebut ialah saudara Aiman Zikri dan Faiz Ashraf. Selepas bersarapan, mereka dikehendaki berkumpul di Dataran Phoenix sebelum menaiki bas ke destinasi-destinasi terpilih di Putrajaya. Perjalanan bermula pada pukul 9 pagi yang turut disertai oleh saudara Ali Sufyan (pemegang banner), saudari Shafiza (bertanggungjawab ke atas kit kecemasan) dan saudari Nadia yang menguruskan hal ehwal pengangkutan rombongan. Antara tempat yang dilawati ialah Masjid Putra, Putra Perdana, Persiaran Perdana, Taman Warisan, Steel Mosque dan Tugu Millennium. Sepanjang rombongan, pelajar-pelajar KYUTECH dapat mempelajari serba sedikit tentang pembangunan yang terdapat di Putrajaya serta mereka telah pun mencuba durian buat julung kalinya. Mereka juga telah menikmati makan tengah hari di Taman Warisan dan setelah rombongan berakhir, mereka singgah di pusat beli belah Alamanda Putrajaya untuk membeli makan malam. Pada keseluruhannya, rombongan tersebut berjalan dengan lancar serta para pelajar dari program ini berkesempatan meluaskan lagi pengetahuan mengenai Malaysia. Setelah semua selesai, rombongan bertolak kembali untuk pulang ke Kolej Tiga Belas. Pada sebelah malam tidak terdapat sebarang aktiviti formal yang dijalankan jadi para pelajar diberi masa untuk beristirehat di bilik masing-masing.

 

SERDANG, 25 Ogos – Hari keenam dimulakan dengan sarapan pagi di Dewan Andromeda, Kolej Tiga Belas bersama dengan fasilitator yang akan bersama dengan mereka pada pukul 8.00 pagi. Selepas itu, para peserta bertolak ke CALC untuk meneruskan bengkel dan aktiviti mereka dan berakhir pada jam 5.00 petang. Seperti hari – hari sebelumnya, pelajar Kyutech akan dibawa oleh ‘buddies’ mereka untuk makan malam di Kafe Kolej Tiga Belas pada jam 6.45 petang. Seterusnya, aktiviti malam dimulakan pada pukul 9.00 malam di mana para peserta berkumpul di Dewan Andromeda untuk aktiviti santai bersama “buddies” seperti bermain permainan “Get to Know Quiz”, “Charade”, “Japan to English”, dan “Reflection”. Pelbagai reaksi dapat dilihat di wajah peserta Kyutech dimana jelas terlihat keriangan para peserta KYUTECH dan fasilitator pada malam itu. Aktiviti pada malam tersebut ditamatkan pada jam 11.00 malam.

 

SERDANG, 26 Ogos - Pada hari ketujuh, pelajar KYUTECH perlu menyediakan pembentangan mengenai aktiviti yang telah dijalankan sepanjang berada di Malaysia. Pada pukul 8 pagi, pelajar KYUTECH bersarapan di Dewan Andromeda sebelum bergerak ke CALC pada jam 9.30 pagi kerana Muzium Warisan dibuka pada jam 10 pagi . Mereka telah ditugaskan untuk membuat persiapan pembentangan sebelum pukul 3 petang. Pada jam 3.00 petang, pembentangan bermula di mana mereka,pelajar KYUTECH telah dibahagikan kepada dua kumpulan . Mereka telah membentangkan aktiviti yang telah mereka jalankan sepanjang program tersebut  berlangsung termasuklah permainan tradisional, pengenalan kepada pakaian tradisional dan sebagainya. Mereka juga telah berkongsi pengalaman mereka sepanjang berada di Malaysia. Kemudian, selesai pembentangan, Prof. Yoshihito Shirai iaitu wakil pegawai dari Universiti Kyutech telah menyampaikan ucapan dan diikuti dengan wakil fasilitator iaitu Abdul Hadi. Selepas ucapan daripada kedua - dua pihak, majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada pelajar KYUTECH dan fasilitator Kolej Tiga Belas sebagai tanda penghargaan. Setelah selesai majlis, mereka telah bersama - sama menjamu selera sebelum bertolak pulang ke kolej. Pada pukul 8 malam, mereka telah dibawa oleh pihak kolej untuk ke pasar malam  berdekatan dan sebelum pulang semula ke Kolej 13 kira kira pukul 11.30 malam .

 

SERDANG, 27 Ogos  –  Pada hari kelapan, program ini diteruskan lagi dengan lawatan ke Kuala Lumpur. Pada jam 8.00 pagi para pelajar dari Jepun mulai berkumpul dan bersarapan. Tepat jam 9.00 pagi, para pelajar dan fasilitator bergerak menaiki bas ke destinasi pertama iaitu Royal Selangor. Pada jam 10.30 pagi, para peserta tiba di Royal Selangor dan bergerak masuk untuk melihat barangan yang dipamerkan sambil mendengar info mengenai sejarah kewujudan Royal Selangor. Para peserta dan fasilitator juga didedahkan mengenai proses membuat pewter dan mencuba sendiri langkah-langkah yang ditunjukkan. Hari di Royal Selangor berakhir dan perjalanan diteruskan lagi menuju ke Istana Negara yang terletak di Jalan Duta. Di situ, semua peserta dan fasilitator bergambar bersama-sama pelajar dari Jepun. Selesai bergambar, semua pelajar bergerak ke istana lama. Setiap pelajar dikenakan bayaran untuk masuk ke dalam dan tidak dibenarkan mengambil gambar. Istana ini telah dipindahkan dan dijadikan Muzium Diraja yang mana di dalamnya mempamerkan semua kamar-kamar yang pernah didiami oleh Agong terdahulu. Pelajar juga berkesempatan melawat Balai Rong Seri dan dibenarkan begambar di situ. Selepas itu, pelajar bergerak menuju ke destinasi seterusnya iaitu Pasar Seni. Tujuan melawat Pasar Seni adalah untuk memberi peluang kepada pelajar Jepun memilih dan membeli barang-barang yang boleh dijadikan sebagai cenderahati untuk di bawa pulang ke Jepun dengan harga yang berpatutan. Pada 4.30 petang, semua peserta berkumpul di stesen LRT Pasar Seni untuk meneruskan perjalanan ke KLCC dengan menaiki LRT. Setibanya di KLCC, para pelajar dilepaskan untuk membeli belah dan makan malam. Tepat jam 8.00 malam, semua pelajar berkumpul di luar KLCC untuk melihat pertunjukkan air pancut yang diadakan pada malam tersebut. Setelah selesai menonton persembahan tersebut, para pelajar bergerak ke bas dan memulakan perjalanan balik ke kolej. Setibanya di kolej, para peserta pulang ke bilik penginapan masing – masing untuk beristirehat.

 

SERDANG, 28 OGOS – Hari kesembilan Program InSKEP dijalankan. Seawal jam 8 pagi kesemua fasilitator dari Kolej Tiga Belas dan pelajar Kyutech berkumpul di Bukit Ekspo dengan berpakaian sukan. Sedikit taklimat awal diberikan mengenai aktiviti sukaneka bagi memastikan perjalanan program hari ini berjalan dengan lancar. Kemudian aktiviti pemanasan dan regangan badan diketuai oleh seorang fasilitator disertai seorang pelajar KYUTECH iaitu Kinuko. Pada pukul 9.20 pagi, aktiviti sukan rakyat dijalankan dimana terdapat lebih kurang 4 ‘check point’ disediakan dimana setiap ‘check point’ diletakkan fasilitator untuk mengendalikan aktiviti yang ditugaskan. Antara aktiviti sukan rakyat ialah tuju selipar, futsal, belon air dan cari gula dalam tepung. Bagi mewujudkan suasana kampung, setiap fasilitator dan pelajar KYUTECH dikehendaki memakai kain pelikat dan kain batik disamping memperkenalkan budaya melayu tempatan. Aktiviti sukan rakyat tamat pada pukul 11 pagi dan diakhiri dengan sesi bergambar bersama - sama. Di sebelah petang, pada pukul 2.30 petang, 10 orang fasilitator dan 11 orang pelajar KYUTECH bergerak ke Mitsui Outlet di Sepang dengan menaiki bas UPM. Di Mitsui Outlet, aktiviti bebas dijalankan. Sebahagian pelajar KYUTECH dan fasilitator membeli barangan dan cenderamata manakala yang lain bersiar-siar didalam Mitsui Outlet. Pada pukul 6 petang, para fasilitator dan pelajar KYUTECH bertolak pulang ke UPM. Pada malam hari, pelajar KYUTECH diberi kebebasan untuk menjalankan aktiviti sendiri bersama ‘buddies’ masing – masing.

 

SERDANG, 29 Ogos – Pada hari terakhir program InSKEP 2016 iaitu hari kesepuluh, “Farewell Lunch” diadakan iaitu majlis penutup bagi pelajar-pelajar KYUTECH. Acara tersebut bermula pada 12.30 tengahari. Ia bermula dengan bacaan doa dan kemudian sesi makan. Selepas itu, majlis disempurnakan dengan ucapan daripada Prof. Shirai, En. Kobayashi, pegawai pengiring peserta KYUTECH, ucapan wakil felo iaitu En. Alvin serta ucapan wakil pelajar daripada Universiti KYUTECH. Kemudian, majlis diteruskan dengan pemberian cenderamata dan sijil kepada pelajar - pelajar KYUTECH. Seterusnya, majlis diakhiri dengan sesi fotografi beramai - ramai. Pada pukul 5 petang, pelajar-pelajar KYUTECH dihantar ke KLIA dengan diiringi dengan fasilitator untuk penerbangan pulang ke Jepun. Para peserta KYUTECH dan fasilitator bertolak dari Kolej Tiga Belas dengan menaiki bas. Sebaik sahaja tiba di KLIA, para fasilitator membawa pelajar-pelajar Kyutech tersebut ke Kaunter Pendaftaran untuk mendaftar masuk. Tepat jam 7.40 malam, semua fasilitator bertolak pulang ke kolej dengan perasaan yang sayu namun gembira berbekalkan memori yang telah dicipta sepanjang Program InSKEP 2016 bersama delegasi pelajar Kyushu University of Technology (KYUTECH).

 

 

 

 

 

 

 

 


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ TAN SRI AISHAH GHANI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691233
0386566461
W, (03:05:08am-03:10:08am, 08 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]