SISTEM SURIA DAN KOLEJ TAN SRI AISHAH GHANI (SIRI 2) | KOLEJ TAN SRI AISHAH GHANI
» ARTIKEL » SISTEM SURIA DAN KOLEJ TAN SRI AISHAH GHANI (SIRI 2)

SISTEM SURIA DAN KOLEJ TAN SRI AISHAH GHANI (SIRI 2)

 

Nama-nama bangunan dan fasiliti di Kolej Tan Sri Aishah Ghani dinamakan menggunakan tema Sistem Solar dan Angkasa. Terdapat enam buah blok kediaman bagi pelajar perempuan di Kolej Tan Sri Aishah Ghani. Empat daripadanya, iaitu blok kediaman asal di kolej ini dinamakan sempena planet.

ZUHRAH

Blok E di Kolej Tan Sri Aishah Ghani dinamakan sempena planet Zuhrah dalam Sistem Suria. Planet Zuhrah merupakan planet kedua terdekat dengan matahari dengan jarak purata sekitar 108 juta kilometer. Perkara menarik tentang planet ini adalah ianya hampir sama dengan planet Bumi dari segi saiz, jisim, isipadu dan ketumpatannya. Zuhrah juga mempunyai permukaan yang masih muda dan atmosfera yang tebal sama seperti Bumi namun atmosfera planet Zuhrah mempunyai kadar racun yang tinggi kerana mengandungi Sulfurik Asid. Zuhrah tidak mempunyai lautan tetapi mempunyai atmosfera yang mengandungi peratus gas karbon dioksida yang tinggi dan tidak mempunyai wap air. Selain itu, planet Zuhrah dikenali sebagai "rumah hijau" kerana mempunyai gas karbon dioksida yang tinggi sejurus memerangkap haba yang terbias dari matahari sehingga menjadikannya planet terpanas di dalam sistem suria dengan purata suhu mampu mencecah sekitar 470 darjah Celsius.

Seterusnya, Zuhrah juga merupakan objek langit kedua tercerah di langit malam selepas bulan. Dengan kecerahan antara magnitude -3.8 hingga -4.6, ia dapat dilihat di siang hari dengan keadaan langit yang bebas awan. Zuhrah mencapai kecerahan maksimum sebelum matahari naik atau pun terbenam, disebabkan alasan tersebut ia selalunya disebut sebagai Bintang Pagi ataupun Bintang Petang. Planet Zuhrah mempunyai fasa – fasa bulan seperti yang dapat dilihat dari bumi kerana zuhrah merupakan planet inferior iaitu planet yang mengorbit matahari di kedudukan dalam bulatan orbit bumi. Zuhrah merupakan satu satunya planet di dalam sistem suria yang berputar pada paksinya mengikut arah jam iaitu dari timur ke barat. Tambahan pula, Zuhrah merupakan planet yang mempunyai bilangan gunung berapi terbanyak di dalam sistem suria iaitu melebihi 1600 ribu.  

Nama Zuhrah diambil daripada perkataan Arab yang bermaksud bunga kerana bentuknya pada waktu pagi atau pada waktu senja seakan-akan bunga. Mengikut bahasa Inggeris pula, nama planet ini diambil sempena nama dewa cinta Rom iaitu “Venus”. Venus adalah pasangan kepada Dewa Mars. Ia diberi nama Venus kerana ciri planet tersebut yang dilihat cantik pada bila-bila masa sahaja melalui mata kasar pada zaman tersebut. Bangsa Yunani memberi nama khas untuk Planet Zuhrah iaitu Hesperos (bintang senja) dan Phosphoros (pembawa cahaya). Ia juga disebut sebagai Aphrodite oleh Aristotle pada abad ke - 4SM.Planet Zuhrah lebih popular dengan gelaran “bintang kejora” oleh orang Melayu.

Di Blok Zuhrah ini, bilik – bilik kediaman didiami oleh pelajar sarjana muda serta pelajar asasi. Di Aras 2 blok ini, sebuah bilik khas disediakan untuk para pelajar sebagai stor penyimpanan barang – barang mereka apabila mereka pulang bercuti semester.

Blok F di Kolej Tan Sri Aishah Ghani dinamakan sempena planet Uranus dalam Sistem Suria. Planet ini dinamakan sempena dewa langit Yunani purba iaitu Ouranos (Yunani Kuno: ΟὐρανÏŒς), bapa kepada Cronus (Saturnus) dan datuk kepada Zeus (Jupiter). Uranus (اورانوس) merupakan planet ketujuh daripada Matahari. Ia merupakan planet ketiga terbesar dari segi jejarinya dan planet keempat terbesar dari segi jisimnya di Sistem Suria. Walaupun ia boleh dilihat dengan mata kasar, planet ini tidak dikenal pasti oleh tamadun purba kerana kesuramannya dan putaran orbitnya yang perlahan. Sir William Herschel mengumumkan penemuannya pada 13 Mac 1781 dan ini menyebabkan garis sempadan yang diketahui dalam Sistem Suria buat pertama kalinya dalam sejarah moden dapat dikembangkan. Uranus juga planet pertama yang ditemui melalui teleskop.

Komposisi planet Uranus adalah sama dengan Neptun dan kedua-duanya mempunyai komposisi kimia yang berbeza daripada gergasi gas yang lebih besar seperti Musytari dan Zuhal. Ahli falak meletakkan mereka di kategori yang berbeza dipanggil gergasi ais. Secara khususnya, atmosfera Uranus terdiri daripada kira-kira 83% hidrogen, 15% helium dan 2% metana. Planet ini mempunyai atmosfera yang paling sejuk di Sistem Suria dengan suhu minimum 49 K (−224 °C). Atmosferanya mengandungi struktur awan yang berlapis dan kompleks dengan air sebagai kandungan awan yang paling rendah dan metana pula berada di awan yang paling atas. Sebaliknya, kawasan dalaman Uranus kebanyakannya terdiri daripada ais dan batu.

Di Blok Uranus, bilik – bilik kediaman didiami oleh pelajar sarjana muda serta pelajar asasi. Di Aras 2 blok ini, sebuah bilik telah disediakan bagi pelajar inkubasi. Selain itu, terdapat dua buah bilik di Aras 1 blok (aras paling bawah) yang dikhususkan bagi pelajar-pelajar yang mempunyai masalah kesihatan dan kelainan upaya serta  terdapat dua buah rumah bagi kegunaan felo Kolej Tan Sri Aishah Ghani menetap bersama keluarga mereka, iaitu Rumah Aquarius.

 

Blok G di Kolej Tan Sri Aishah Ghani dinamakan sempena planet Marikh di dalam Sistem Suria. Marikh (♂) (daripada bahasa Arab atau Parsi: مريخ) merupakan planet yang keempat letaknya dari Matahari dalam Sistem Suria. Marikh terkenal dengan warna permukaannya yang merah apabila dilihat dari langit, terutamanya pada waktu malam. Ia mempunyai 2 satelit iaitu Phobos dan Deimos. Kedua-dua satelit tersebut menyerupai asteroid. Marikh sentiasa mengagumkan penduduk Bumi kerana warna kemerahannya dipenuhi misteri. Marikh hanya mempunyai keluasan 25% permukaan Bumi dan hanya 10% jisim Bumi (walau bagaimanapun keluasan daratan Bumi adalah sama dengan keluasan daratan Marikh). Atmosfera Marikh amat nipis dan tekanan atmosferanya hanya 750 Pa (kira-kira 0.75% purata di Bumi). Komposisi atmosfera Marikh adalah 95% karbon dioksida, 3% nitrogen, 1.6% argon dengan sedikit sahaja kandungan oksigen dan air. Pada tahun 2003, metana telah dikesan dalam atmosfera Marikh oleh teleskop Bumi dan telah disahkan (secara tidak rasmi) pada Mac 2004 oleh prob: Mars Express Orbiter. Kehadiran metana memang aneh disebabkan metana bukannya gas asli serta menunjukkan kemungkinan adanya punca gas tersebut di planet Marikh. Aktiviti gunung berapi, hentaman komet dan kehadiran kehidupan seni (mikroorganisma) seperti metanogen di planet ini masih belum dibuktikan lagi.

Marikh mempunyai tempat penting dalam imaginasi manusia kerana dipercayai terdapat makhluk hidup di Marikh. Ini disebabkan perjumpaan "terusan Marikh" oleh Percival Lowell (13 Mac 1855 – 12 November 1916), seorang penulis dan ahli astronomi Amerika yang menyatakan ia merupakan struktur buatan oleh penduduk planet Marikh dan perubahan kegelapan/kecerahan yang telah menyebabkan beliau percaya ada pertumbuhan vegetatif di Marikh. Di situ berpuncanya cereka tentang makhluk planet Marikh. Sekarang, pemerhatian Percival Lowell telah dikatakan tersesat dan dilabelkan sebagai paritan lama akibat pergerakan air pada zaman dahulu-kala.

Di Blok Marikh, bilik-bilik kediaman didiami oleh pelajar sarjana muda dan pelajar asasi sains pertanian. Di Aras 1 Blok Marikh terdapat sebuah bilik yang disediakan sebagai penempatan pelajar siswazah dan pada aras yang sama terdapat stor penempatan peralatan kolej yang dijaga dan diuruskan oleh staf Kolej Tan Sri Aishah Ghani.

 

Blok H di Kolej Tan Sri Aishah Ghani dinamakan sempena planet Zuhal dalam Sistem Suria. Di namakan Saturn (Zuhal) dari dewa Rom utama pertanian dan tuaian. Pada abad pertengahan Saturn dikenali sebagai dewa Rom pertanian, keadilan dan kekuatan; beliau memegang sabit di tangan kiri dan seikat gandum di tangan kanannya. Nama ibunya adalah Helen, atau Hel. Dia pertama kali diidentifikasi pada zaman klasik Greek dengan dewa Cronus, dan mitologi dari dua dewa yang biasanya dicampur. Isteri Saturn ialah Ops (setara Rhea dalam mitos Romawi). Saturn adalah ayah kepada Ceres, Jupiter, Veritas, Pluto, dan Neptune. Dewa Saturnus merupakan dewa kedua terkuat antara semua dewa-dewa kepercayaan Romawi dan Yunani. Dewa Saturnus adalah dewa pertanian yang suka terhadap keindahan di bumi. Dewa Saturnus adalah anak kepada Dewa Uranus. Saturn selain digunakan pada nama planet Saturn (Zuhal), juga digunakan pada hari Saturday (Sabtu).

Zuhal merupakan planet yang keenam dari Matahari dan planet kedua terbesar di dalam Sistem Suria, selepas Musytari. Zuhal, bersama-sama dengan Musytari Uranus dan Neptun, diklasifikasikan sebagai sebuah planet gergasi bergas. Zuhal mempunyai satu sistem gelang atau cincin yang utama terdiri kebanyakkannya dari air dan batu dengan sejumlah kecil serpihan batuan dan debu. Gelang-gelang ini bersinar kerana partikel-partikel ais di dalamnya memantulkan cahaya. Terdapat 60 bulan mengorbit planet ini. Planet yang paling cantik kerana terdapat beribu-ribu gelang berwarna di sekelilingnya. Planet yang paling banyak satelit semula jadi / bulan. Jarak dari Matahari adalah 1 427 juta km, masa untuk satu peredaran lengkap bagi planet ini adalah 29 tahun serta memiliki bilangan satelit semula jadi / bulan sebanyak 18.

Di blok Zuhal, bilik – bilik kediaman didiami oleh pelajar sarjana muda, pelajar asasi sains pertanian, dan pelajar siswazah. Di Aras 5 blok ini, sebanyak tiga bilik disediakan bagi penempatan pelajar siswazah.

 

Artikel ini disumbangkan oleh:

Jemaah Ketua Blok

Majlis Perwakilan Kolej 

Kolej Tan Sri Aishah Ghani.

 

Tarikh Input: 16/01/2020 | Kemaskini: 11/01/2023 |

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ TAN SRI AISHAH GHANI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691233
0386566461
X, (03:15:10pm-03:20:10pm, 16 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]