
Detik bersejarah yang mencatatkan tarikh keramat bermula pada 22 Julai 1997 apabila tertubuhnya sebuah kolej kediaman baharu, iaitu Kolej Matrikulasi Universiti Putra Malaysia (UPM) atau lebih dikenali sebagai KOMAT. Menjadi platfom kepada para pelajar untuk mendiami sebuah kolej kediaman di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang terulung di Malaysia, para pelajar turut berpeluang menimba ilmu pengetahuan dan mengembangkan sayap ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang pengajian pilihan masing-masing.
Mukadimah pentadbirannya yang bertanggungjawab telah dikelolai oleh Pusat Pengajian Matrikulasi dengan pengambilan pertama pelajar bermula pada 15 Ogos 1997. Sebagai pengetua sulung, Encik Mohamad Azmi Sulong telah berjaya mengendalikan kolej ini dengan cekap dan efisyen bersama 17 orang kakitangan yang dilantik.
Setelah Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil alih pengurusan bagi Program Matrikulasi pada tahun 2000, mulai sesi Mei 2000/2001, kolej ini telah dibuka kepada pelajar-pelajar daripada pelbagai program diploma. Kini, kolej yang disayangi ini telah bertukar nama kepada Kolej Tiga Belas dan nama Kolej Matrikulasi (KOMAT) hanya tinggal dalam kenangan.
Semenjak Julai 2019, Kolej Tiga Belas telah bergabung dengan Kolej Mohammad Rashid (KMR) sebagai sebahagian daripada program Transformasi Governans UPM. Perubahan ini memberi satu perkembangan baharu kepada imej dan identiti Kolej Tiga Belas.
Tahun bersilih ganti mematangkan kita dalam segala urusan. Pihak Kolej Tiga Belas mengalami perubahan sedikit demi sedikit dari segi pentadbiran dan kendalian urusan hal ehwal Kolej. Kualiti yang ditonjolkan pihak pengurusan menggambarkan kecekapan mereka dalam melaksanakan sistem dengan kemas dan berkesan.
Tampuk kepimpinan turut mengalami perubahan bermula dari tahun 2001 oleh Prof. Dr. Ahmad Ismail, Prof. Dr. Mohammed Zakaria Hussin, Y.M Dr. Tengku Azam Shah Tengku Mohammad, Prof. Madya Dr. Arifin Abdu dan Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Shukri Muhammad Noor. Pada 8 Jun 2022, Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia bersetuju untuk menamakan Kolej Tiga Belas sebagai Kolej Tan Sri Aishah Ghani. Bermula 1 April 2024, Dr. Daljit Singh Karam Singh dilantik sebagai Pengetua Kolej Tan Sri Aishah Ghani yang baharu.
Sistem Kolej Tan Sri Aishah Ghani yang berteraskan kekeluargaan amat menekankan kemesraan dalam melayan pelanggannya. Pelanggan yang hadir boleh terus berhubung dengan staf yang bertugas sekiranya memerlukan bantuan atau apa sahaja yang berkaitan dengan Kolej Tan Sri Aishah Ghani.
Dengan sejarah yang panjang, Kolej ini melalui liku-liku perubahan, yang membawa kepada kecemerlangan berterusan. Daripada sebuah komuniti kecil yang tidak dikenali berubah kepada sebuah institusi pembelajaran tidak formal yang banyak melahirkan juara dan graduan yang berdaya saing dan mempunyai kebolehpasaran yang tinggi. Semangat sayangkan Kolej membuatkan Kolej Tan Sri Aishah Ghani mampu meraih pelbagai kejuaraan. Sehingga kini, nama Kolej Tan Sri Aishah Ghani menjulang naik melalui program-program yang dianjurkan oleh pihak Universiti Putra Malaysia. Semoga dengan kematangan ini, Kolej Tan Sri Aishah Ghani akan terus maju dan sukses dengan kejayaan yang dikecapi akan datang.
Kemaskini:: 06/05/2024 [noriza]

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
43400 UPM SERDANG,
SELANGOR DARUL EHSAN